Mia masih lagi di situ. Duduk termenung di jendela biliknya menatap langit malam. Tiada langsung biasan cahaya rembulan. Tiada bintang yang menghiasi dada alam. Fikirannya, hatinya dan jiwanya terlontar pada kenangan semalam. “huhhh” sesekali keluhannya kedengaran menerobosi pernafasan. Bagaikan pita rakaman, kenangan silam muncul satu per satu mengimbau ingatannya terhadap nostalgia sejarah silam.
Mak Midah duduk bersimpuh di ruang tamu sambil membaca yasin sebaik sahaja usai menunaikan solat Maghrib. Air mata berjejeran menerusi kolam matanya. Pipi tuanya basah dengan tangisan yang cuba disembunyikan. Sesekali ekor matanya menjeling Mia. Mak Midah tidak mahu Mia menyedari hati tuanya sedang bersedih. “Mak, kenapa mak? Kenapa mak menangis?” Bagai mahu luruh jantung Mak Midah mendengar persoalan anaknya. Mak Midah tidak menyangka kalau Mia menyedari kelakuannya. “eh! tak ada apa-apalah”. Helah Mak Midah sambil mengesat pipinya kedutnya. Perlahan-lahan Mak Midah Bangkit dari duduknya dan terus menuju ke bilik. Pintu dikunci serapat-rapatnya.
Suasana bertukar hening. Yang kedengaran kini cuma bunyi cengkerik saling sahut-bersahutan membingitkan suasana alam malam. Mia memandang jam di dinding rumahnya. “Baru pukul 8.00 malam”. Bisik hati Mia. Mia mendekatkan telinga ke pintu bilik ibunya. Hatinya berbisik sendiri. “Mak masih menangis lagi?” Tangannya cepat sahaja ingin mengetuk pintu agar di buka. Ingin sahaja Mia bertanya apa yang telah terjadi kepada ibunya. Sesaat, tangannya sendiri terkaku. Penyesalan demi penyesalan menyerang benaknya. Mia sedar, ibunya menangis kerana dirinya. ibunya bersedih juga kerana dirinya.
Mia berlalu ke biliknya dengan rasa penyesalan. Walaupun bilik istirehatnya tidaklah begitu besar, dibina cukup sederhana sahaja, tetapi di bilik inilah tempat luahan kesedihan dan sesalannya. Fikirannya kembali mengingati peristiwa petang tadi. “Mia, mak sayang dengan Reza tu. Budaknya pun baik mak tengok. Dengan orang tua memang hormat. Mak suka kalau kau boleh berkawan baik dan terima Reza dalam hidup kau.” itulah kata-kata dan hasrat yang disampaikan oleh ibunya lewat petang tadi. Mia hanya mendiamkan diri sewaktu ditanya oleh ibunya lewat petang tadi. Mia tidak tahu apakah alasan dan jawapan terbaik yang harus diberikan kepada ibunya. Menerima bermaksud menjerat kehidupannya. Menolak akan menyebabkan hati ibunya terluka. Bagi Mia, Reza memang lelaki yang baik. Lelaki yang cukup sempurna untuk dinobatkan sebagai suami yang solleh. Anak yang hormat kepada orang tuanya. Malah Reza juga telah Berjaya menawan hati ibunya dengan budi pekerti dan tingkah lakunya. Mia benar-benar berada dipersimpangan delima. Bagi Mia, hidupnya kini tak ubah seperti ditelan mati emak, diluah mati bapa.
Keluhan demi keluhan bergumpal dikerongkongnya. Terasa sesak nafasnya dengan semua persoalan ini. Bagaimana mungkin dia dapat menerima kehadiran Reza dalam hidupnya sebagai suami. “Kegilaan apakah ini?” Hatinya bergumam sendiri. Selama ini, Reza tidak ubah seperti abang kandungnya sendiri. “Mak, maafkan Mia, Mia bukan nak menyakiti hati mak. Tapi, memang Mia tak boleh nak menerima semua ini. Mia dah anggap Reza tu macam abang kandung Mia sendiri. Mak tau kan semua tu. Mia harap mak faham.” Kerana keputusannya itulah ibunya berkecil hati, kerana keputusan itu juga menyebabkan Reza telah pergi membawa diri. Entah ke mana, Mia sendiri pun tidak tahu.
0 comments:
Post a Comment