Tanjung Penyabong dan Pulau Lanun Endau Mersing merupakan destinasi kami kali ini. Aktiviti ini telah disertai oleh pelajar-pelajar dari Persatuan Persis seramai 14 orang dengan diiringi oleh 4 orang penasihat kelab iaitu aku sendiri, Suhana, Sri Arjuna dan Aisyah Maulan.
Ketibaan kami di Pulau Penyabung disambut dengan cuaca dan suasana alam yang agak suram ketika itu. Hujan lebat, guruh dan petir ketika itu telah membataskan pergerakan program kami. Kami perlu menunggu hujan beransur reda untuk meneruskan hasrat kami menjelajah ke Pulau Lanun. Kira-kira jam 3.30 petang, cuaca bertambah baik. Hujan mula berhenti. Kami mula bergerak ke Pulau Lanun dengan meredah anak tanjung. Di pertengahan jalan, hujan mula turun semula. Kami tetap meneruskan perjalanan. Pemandangan persekitaran di kawasan Tanjung Penyabong sangat indah ketika itu. Bukit dan pulau di sekitar kawasan tersebut diselaputi oleh kabus tebal.
Kami perlu mendaki dan melepasi bukit ini terlebih dahulu kerana Pulau Lanun terletak betul-betul dibelakang bukit ini. Sebelum itu, kami perlu meredah anak tanjung dengan kedalaman kira-kira paras pinggang orang dewasa (ketika air surut).
Sesudah melepasi anak tanjung, kami harus mendaki bukit atau dengan kata lain perlu ‘jungle tracking’ didalam kawasan semak belukar.
Inilah persekitaran dan keindahan Pulau Lanun yang sempat kami rakamkan. Sesudah puas menikmati keindahan dan kesejukan air di Pulau Lanun, kami bergegas pulang semula le Sari Mawar Chalet kerana ditakuti air laut mula pasang.
Kerana terlalu leka dan kagum dengan keindahan Pulau Lanun ini, aku dan Suhana sibuk mengabadikan memori dan pandangan indah ini dengan mengambil gambar sepuas-puasnya sehingga terpisah jauh dengan pelajar-pelajar dan rakan-rakan yang lain. Kelekaan kami ini rupa-rupanya membawa padah kepada kami berdua. Ketika leka mengabadikan kenangan indah dalam lensa kamera, air mula pasang dengan derasnya. Aku dan Suhana langsung tidak menyedari rakan-rakan dan pelajar kami sedang bertarung dengan arus deras yang menghayutkan mereka ke laut dalam. Masing-masing bertaut tangan agar tiada sesiapa di antara mereka terpisah yang mungkin boleh membawa mereka lebih jauh ke kawasan yang lebih dalam.
Aku hanya sedar situasi tegang sedang berlaku di hadapan aku apabila mendengar jeritan salah seorang pelajar yang meminta kami berdua bergegas meninggalkan kawasan tersebut. Tanpa membuang masa, kami mula mencecahkan kaki ke anak tanjung yang menghubungkan antara dua buah pulau. Debaran dan degupan jantung bertambah kencang apabila kami berdua terperangkap dengan arus deras di tengah-tengah anak tanjung. Air pasang terlalu cepat dan semakin dalam.
Asakan arus deras ini cuba menghanyutkan kami berdua. Segelintir pelajar-pelajar lelaki mula menjerit dan meminta agar kami berpatah semula kebelakang ke tempat di mana kami bermula berdua bermula. Kami cuba mengagahkan diri untuk melawan arus deras untuk berpatah semula ke daratan yang menghubungkan anak tanjung ini. Tetapi usaha ini gagal kerana kami berdua terperangkap di tengah-tengah pusaran arus deras.
Keadaan bertukar cemas apabila air laut semakin dalam sehingga mencecah paras dagu. Kaki dijinjitkan untuk terus kukuh bertahan ditengah-tengah lautan. Aku mula merasakan pernafasan mula sempit apabila berada dalam keadaan cemas dan tegang ketika itu. Kaki mula sejuk dan kejang. Bagaimanapun kami harus bertahan ketika itu demi mempertahankan nyawa. Untuk berpatah balik ke anak tanjung yang belum dinaiki air, kami sudah pun berada di separuh jalan. Untuk terus mara ke depan, lautan tempat di mana kami berada sudah agak dalam. Buntu dengan situasi tegang dan cemas, kami hanya berdiam kaku di tengah-tengah lautan sambil menanti kehadiran pelajar-pelajar lelaki menyelamatkan kami.
Melihatkan kami berdua sudah berada di situasi yang mencemaskan, 4 orang pelajar lelaki yang berada di seberang anak tanjung segera berenang untuk menyelamatkan kami. Kehadiran 4 orang pelajar ini mampu membuat kami menarik nafas lega. Sekurang-kurangnya peluang untuk kami selamat masih ada berbanding cuma kami berdua sahaja ketika itu. Aku memegang erat sebelah tangan suhana sambil sebelah tangan lagi memaut lengan pelajar. Syukur kami masih di berikan kesempatan untuk melepasi anak tanjung seterusnya masih lagi berpeluang hidup di bumi Allah ini.
Ini merupakan pengalaman ngeri yang tak akan kami lupakan sampai mati. Sungguh benar pengalaman itu memang tak boleh dibeli di mana-mana. Pengalaman itu hanya akan kita perolehi dan rasai apabila kita melaluinya sendiri.
Oke cukuplah dengan pengalaman ngeri tadi..Sekarang kita tengok antara aktiviti yang dijalankan sepanjang dua hari yang sempat dirakamkan:
Aktiviti senaman pagi
Aktiviti menyediakan sarapan sandwich paling kreatif
Aktiviti bola bowling pantai
Aktiviti BBQ
Semoga segala pengalaman ini boleh dijadikan iktibar sepanjang hidup.
0 comments:
Post a Comment